Penempatan dalam Pendidikan Khas

Penempatan pendidikan merupakan satu konsep yang amat penting dalam menjayakan pelaksanaan pendidikan khas. Semua pendidik, sama ada guru pendidikan aliran perdana atau guru pendidikan khas, perlu memahami konsep tersebut.

Dalam pendidikan aliran perdana, murid ditempatkan di sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan atau sekolah agama berdasarkan permohonan dan pendaftaran yang telah dibuat oleh ibu bapa.  Kemudian, di sekolah murid akan ditempatkan di kelas-kelas tertentu mengikut pencapaian akademik atau kriteria lain yang ditetapkan oleh sekolah.  Selepas peperiksaan awam tertentu, murid boleh diberi penempatan di aliran Sains atau aliran Sastera, atau ke sekolah-sekolah khusus terpilih. 

Pada amnya, di pendidikan aliran perdana  keutamaan dalam pemberian penempatan tertentu adalah berdasarkan pencapaian akademik atau kemahiran khusus murid.  Walau bagaimanapun, dalam pendidikan khas istilah penempatan membawa konsep yang agak berlainan.  Selepas seseorang murid telah didapati sebagai calon yang sesuai untuk menerima pendidikan khas, jenis penempatan yang dianggap sesuai untuknya perlu diputuskan. 

Terdapat beberapa jenis penempatan dalam pendidikan khas.  Seorang murid yang telah disahkan menghadapi masalah yang boleh menjejaskan pembelajaran boleh ditempatkan di kelas biasa untuk menerima pendidikan bersama-sama dengan murid yang tidak mengalami masalah.  Jenis penempatan ini dikenali sebagai pendidikan inklusif atau pengsealiran (mainstreaming).  Untuk segolongan murid yang  tidak mengalami masalah teruk,  mereka boleh diberi penempatan di mana mereka akan menghabiskan sebahagian besar masa pembelajaran dalam kelas biasa atau aliran perdana tetapi untuk waktu-waktu tertentu dikeluarkan untuk menerima perkhidmatan atau bantuan khas untuk memulihkan aspek-aspek kelemahan tertentu.  Jenis penempatan tersebut dinamakan penempatan bilik resos.  Ramai murid berkeperluan khas ditempatkan untuk belajar di kelas-kelas yang dibuka khas untuk mendidik mereka di sekolah biasa.  Jenis penempatan ini lebih kerap dikenali sebagai kelas khas.  Ada kemungkinan seseorang murid  ditempatkan di sebuah sekolah yang dibuka khusus untuk murid yang berkeperluan khas.  Jenis penempatan tersebut ialah sekolah khas.  Di negara barat seperti Amerika Syarikat, pendidikan wajib disediakan untuk semua kanak-kanak berkeperluan khas tidak kira betapa teruk tahap keterukan masalah atau kecacatan yang dialami mereka.  Untuk seseorang murid yang terhalang daripada menghadiri sekolah disebabkan masalah yang dihadapinya, pendidikan untuknya boleh disediakan di hospital atau di rumahnya sendiri.  Di Malaysia, walaupun tidak disediakan penempatan pendidikan di hospital atau di rumah, namun untuk murid yang mengalami masalah yang begitu teruk sehingga sukar dididik di sekolah, pusat-pusat pemulihan yang dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, atau agensi-agensi bukan kerajaan biasanya berperanan untuk memberi perkhidmatan pendidikan dan pemulihan yang bersesuaian.  Pusat-pusat tersebut lebih kerap dikenali sebagai pusat PDK atau Pemulihan Dalam Komuniti.

Penempatan pendidikan khas biasanya dibuat atas prinsip persekitaran yang paling tidak menghadkan (least restrictive environment).  Apakah sebenarnya prinsip tersebut?  Salah satu matlamat yang amat penting dan diharapkan daripada penyediaan pendidikan khas ialah murid berkeperluan khas dapat mendapat pengetahuan and kemahiran yang membolehkan mereka berdikari dan menyesuaikan diri dengan masyarakat.  Langkah yang paling asas untuk mencapai matlamat tersebut bermula dengan kebolehan untuk bercampur gaul dan bersosialisasi dengan orang yang tidak mengalami masalah.  Kebolehan dan kebiasaan untuk bersosialisasi hanya boleh dicapai sekiranya mereka sendiri mempunyai pengalaman berinteraksi dengan golongan orang yang tidak menghadapi masalah.  Prinsip persekitaran yang paling tidak menghadkan berkaitan dengan konsep bahawa dalam penetapan penempatan untuk murid berkeperluan khas, seboleh mana yang mungkin, murid patut ditempatkan belajar bersama-sama dengan murid yang tidak mengalami masalah.  Hal ini akan memberi mereka peluang dan pengalaman untuk berinteraksi dan menyesuaikan diri dengan masyarakat umum.  Penempatan yang paling ideal dan yang memberi peluang yang paling baik sekali untuk mencapai tujuan tersebut ialah penempatan inklusif.  Namun, hanya mereka yang tidak mengalami masalah yang teruk yang sesuai ditempatkan untuk belajar bersama-sama murid biasa untuk sebahagian besar masa pembelajaran.  Untuk mereka yang mengalami masalah yang teruk, penempatan pendidikan yang lain seperti di kelas khas atau sekolah khas, atau penyediaan pendidikan di hospital atau di rumah adalah lebih sesuai diamalkan.   Pada amnya, kesesuaian penempatan pendidikan khas amat bergantung kepada tahap keterukan masalah yang dihadapi oleh murid berkeperluan khas.

2 Respons to “Penempatan dalam Pendidikan Khas”

  1. liza Says:

    salam…
    saya ada masalah.saya lihat sorg murid saya tu layak ke pendidikan khas.saya bercadang hendak membuat surat supaya dia (ibu bapanya) membawa dia berjumpa doktor untuk sahkan samada dia layak atau tidak ke pendidikan khas.ada tak contoh surat atau tlg cadangkan macammana cara saya nak buat

    • david khoo Says:

      Liza,
      Sebelum Liza menulis surat yang dicadangkan, pastikan Liza telah membuat perbincangan dengan ibu bapa berkaitan masalah yang diragukan. Setengah ibu bapa agak sensitif tentang perkara ini. Kalau Liza mendapat persetujuan ibu bapa, Liza boleh mula menulis tersebut. Dalam surat tersebut, Liza sebagai guru murid, boleh nyatakan perkara-perkara atau gejala-gejala yang membuat Liza mengesyaki bahawa murid kemungkinan menghadapi masalah. Contohnya, murid tidak boleh memberi perhatian dalam kelas, selalu tidak mengikut atau memahami arahan-arahan yang mudah, seolah-olah menghadapi masalah mendengar apa yang dikatakan kepadanya dan sebagainya. Surat sedemikian boleh memberi satu gambaran kepada doktor tentang masalah yang dihadapi. Saya cadangkan supaya hospital yang mana murid akan dibawa mempunyai seorang pakar pediatrik (doktor kanak-kanak) kerana dialah yang mahir menjalankan pelbagai jenis ujian untuk menentukan sama ada murid Liza memang mempunyai masalah. Selain daripada itu, saya juga cadangkan supaya Liza menghubungi pegawai di Unit Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri untuk mendapat maklumat yang lanjut. Setiap Jabatan Pendidikan Negeri mempunyai seorang pegawai yang bertanggungjawab atas penempatan murid khas dan pegawai tersebut boleh memberi nasihat yang membantu.

      Saya harap cadangan saya di atas dapat membantu sedikit sebanyaknya kepada Liza. Dan saya ucapkan syabas kepada Liza kerana dengan tindakan yang dicadangkan akan diambil oleh Liza, Liza telah menunjukkan sikap seorang guru yang bertanggungjawab.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: