Konsep Pendidikan Khas

Apakah yang dimaksudkan dengan pendidikan khas?

Setiap hari terdapat ramai murid yang menghadiri sekolah untuk menerima pendidikan yang disediakan oleh sekolah. Pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan oleh guru berdasarkan topik-topik yang terkandung dalam sukatan resmi yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.  Segala topik dalam sukatan yang ditetapkan oleh setiap mata pelajaran perlu diajar dalam tahun berkaitan.  Guru akan menguji penguasaan pengetahuan dan kemahiran yang telah disampaikan melalui ujian dan juga peperiksaan di akhir penggal tahun akademik.  Pada amnya, penjelasan di atas memberi sedikit gambaran tentang sistem pendidikan yang bercorak aliran perdana, dan corak pelaksanaannya memang bersesuaian dengan kebolehan majoriti murid dalam sistem persekolahan umum.

Namun terdapat segolongan murid yang akan sudah pasti akan menghadapi kegagalan dalam pengajaran dan pembelajaran sekiranya mengikuti sistem pendidikan seperti yang dijelaskan.  Golongan murid ini merupakan murid berkeperluan khas kerana mereka mengalami keadaan kecacatan yang menjadi halangan kepada penguasaan pengetahuan dan kemahiran yang disampaikan oleh guru melalui proses pengajaran dan pembelajaran seperti yang biasa diamalkan dalam sistem pendidikan aliran perdana.  Untuk mencapai kejayaan dalam pendidikan, pelbagai usaha dan bantuan perlu disediakan untuk membantu mereka.  Oleh yang demikian, corak pendidikan adalah berbeza dan mempunyai pelbagai ciri-ciri yang tidak terdapat dalam sistem pendidikan aliran perdana.  Pendidikan yang disediakan untuk golongan berkeperluan khas tersebut dikenali sebagai pendidikan khas.

Apakah antara ciri-ciri khusus dalam pendidikan khas?

Oleh kerana murid berkeperluan khas menghadapi keadaan yang menghalang mereka daripada menerima pendidikan yang disampaikan secara biasa, bantuan-bantuan tertentu perlu disediakan untuk membantu mereka mengatasi halangan-halangan tersebut.  Bantuan-bantuan ini boleh disediakan dalam bentuk akomodasi dan modifikasi, atau dengan lain perkataan, pengubahsuaian yang telah dilakukan kepada pengajaran dan pembelajaran.  Sebagai contoh, isi kandungan pelajaran yang disampaikan boleh dikurangkan atau dipermudahkan.  Atau sekiranya seseorang menghadapi masalah memegang pensel untuk menulis, cara penyoalan boleh diubahsuaikan kepada cara lisan atau pemilihan jawapan pelbagai yang telah diberikan.

Perkhidmatan kepakaran juga boleh disediakan.  Sebagai contoh, seseorang murid yang menghadapi masalah pertuturan dan bahasa boleh dibantu oleh seorang pakar dalam bidang tersebut untuk beberapa kali seminggu.  Di samping perkhidmatan kepakaran, bantuan juga boleh diberikan dalam bentuk peralatan.  Golongan murid berkeadaan rabun boleh dibantu melihat tulisan di papan putih dengan teleskop yang dicipta untuk membaca dari jarak jauh, membaca buku melalui CCTV (close circuit television) yang bertujuan membesarkan tulisan tercatit atau menghasilkan penulisan yang tepat melalui komputer bersuara.  Secara ringkas, kejayaan perlaksanaan pendidikan khas bergantung kepada persediaan perkhidmatan-perkhidmatan sokongan khas yang boleh membantu murid mengatasi halangan yang dihadapinya dalam usaha menguasai pengetahuan dan kemahiran yang diajar kepadanya oleh golongan guru. 

Keadaan masalah atau kecacatan yang dihadapi oleh murid berkeperluan khas juga pelbagai dan berlainan.  Sebagai contoh, walaupun terdapat dua orang murid berkeadaan Sindrom Down, masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka tidak semestinya sama.  Contohnya, salah seorang murid boleh menulis dan membaca dan boleh membuat segala persediaan harian seperti memakai kasut dan baju dengan sendiri manakala seorang murid lagi masih perlu bergantung kepada orang lain untuk hal-hal pengurusan diri harian.  Keperluan-keperluan pendidikan untuk kedua-dua orang murid Sindrom Down sudah past amat berlainan.  Oleh yang demikian, dalam amalan pendidikan khas, keperluan-keperluan setiap orang murid perlu dikenal pasti supaya pendidikan yang disediakan bersesuaian dengan masalah-masalah yang dihadapi oleh individu tertentu.  Pendek kata, satu rancangan pendidikan individu perlu disediakan untuk setiap orang murid.

Label: , , , , , , , , ,

Tinggalkan komen